Sunday, April 20, 2008

PERLU POSITIF SELESAI MASAALAH

TIADA siapa mahu keseorangan ketika menghadapi masalah dan mengharapkan ada orang lain boleh membantu. Malangnya, meluahkan rahsia pada orang asing sukar dilakukan. Bagi golongan remaja, masalah memang banyak, dari segi pelajaran, hubungan rakan, pensyarah hingga persekitaran. Akibat malu atau tiada tempat sesuai meluahkan perasaan itu, mereka melakukan sendiri sehingga mencetuskan kecelaruan emosi.


Walaupun mempunyai rakan sebaya tapi mereka kurang berpengalaman dan sukar memberi panduan bernas. Sikap takut diejek dan dipersenda menyebabkan mereka enggan berjumpa kaunselor bagi membantu menyelesaikan kebuntuan. Selain itu, sikap tidak percaya dan terlalu memikirkan pandangan orang lain menyebabkan peranan kaunselor seolah-olah tidak penting.

Kaunselor di Jabatan Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Nordinah Mohd Kassim berkata remaja terutama mahasiswa perlu mempunyai pandangan positif apabila berjumpa kaunselor. Menurutnya, kaunselor bukan hanya menyelesaikan masalah tapi memberi nasihat, mendengar dan membuat penilaian bertujuan membantu seseorang membuat keputusan.

“Bagaimanapun, mahasiswa perlu membuat keputusan sendiri kerana kami hanya memberi panduan dan nasihat. “Pandangan masyarakat menyamakan kaunselor seperti pakar psikiatri perlu diperbetulkan kerana fungsi berbeza. Kaunselor memberi khidmat nasihat, bukan memberi ubat,” katanya.Beliau berkata, tanggapan itu menyebabkan timbul pandangan serong terhadap kaunselor.

“Walaupun ada masalah, mahasiswa enggan berjumpa kaunselor kerana mempunyai pandangan negatif itu. “Bagaimanapun, pandangan itu berbeza di negara maju, mahasiswa lebih terbuka, mudah berbincang menyebabkan peranan kaunselor lebih penting,” katanya. Nordinah berkata, didikan sejak kecil dan kekangan budaya menyebabkan kebanyakan masyarakat Timur lebih tertutup dan peranan kaunselor hanya perlu apabila keadaan terdesak.

“Dalam pendidikan sosial dan budaya, masyarakat Timur dibendung rasa sopan, kerahsiaan dan budi bahasa menyebabkan mereka sukar berkongsi masalah dengan orang lain. “Mahasiswa lebih suka berkongsi masalah dengan rakan sebaya berbanding kaunselor yang mempunyai kelayakan dan ilmu khusus untuk menangani masalah mereka.

“Rakan sebaya boleh dibawa berkongsi masalah tetapi pendekatannya mungkin tidak sesuai atau sekadar berbual kosong,” katanya. Menurutnya, jangan menganggap apabila berjumpa kaunselor masalah akan selesai kerana ia mengambil tempoh tertentu dan perlu dilakukan berterusan. “Proses kaunseling mengambil masa, bermula sesi pengenalan diri, perkongsian masalah dan penekanan penyelesaian tertentu.

“Kaunselor juga mempunyai pendekatan dan etika tertentu dalam sesi perjumpaan bagi melihat secara tepat apa masalah yang berbangkit atau ada perkara lain yang menyebabkan wujud situasi genting itu,” katanya. Mengulas sama ada peranan kaunselor relevan dalam membantu menyelesaikan masalah remaja di institusi pengajian tinggi, beliau berkata, kedua-dua elemen itu perlu dilihat secara menyeluruh.

Menurutnya, perjumpaan bukan saja membantu menyelesaikan masalah kejiwaan atau emosi tapi juga pemilihan kerjaya atau kursus. “Jangan anggap kami hanya untuk menyelesaikan masalah cinta dikalangan mahasiswa kerana kaunselor turut memberi panduan kerjaya dan merencana masa depan mereka.

“Kesilapan mahasiswa memilih kursus menyebabkan mereka menghadapi masalah kemudian hari. Justeru, mereka perlu merujuk kepada kaunselor,” katanya. Untuk memartabat dan membuka minda masyarakat, beliau menyarankan mahasiswa bersikap terbuka dan mempercayai kewibawaan kaunselor.

“Kaunselor sentiasa profesional, berpegang pada konsep menjaga kerahsiaan, integriti serta penuh empati. “Jangan takut atau tertekan untuk berjumpa. Manusia normal tidak lepas daripada berdepan masalah dan kaunselor menjadi medium untuk membantu,” katanya.

No comments:

Post a Comment