Sunday, April 20, 2008

POKOK SEGAR CETUS DAMAI

SEMAKIN ramai pemilik kediaman yang mengambil langkah menghias laman dengan pelbagai pokok segar dan memperlihatkan ketenangan semula jadi. Ia bukan saja mampu menghilangkan tekanan, malah dapat menyemai rasa cinta kepada alam sekitar.


Bagi anda yang baru berpindah atau bercadang menghias kediaman secara ringkas tetapi menarik, elok memilih pokok mudah dijaga, tahan lasak dan cepat membesar. Pastikan pokok yang dibeli dari pusat tanaman bunga itu sihat khususnya bebas daripada sebarang penyakit melalui ciri-ciri seperti warna sekata dan kelihatan segar.

Anda juga perlu memeriksa dengan teliti keseluruhan pokok dan pastikan ada banyak tunas baru. Jangan lupa memeriksa tanah yang ada dalam pasu sama ada lembap, kering atau terlalu kering hingga terdapat rekahan kecil. Tanah yang terlalu kering tidak menerima air dengan baik walaupun disiram.

Bagaimanapun langkah membeli pokok dalam plastik semaian juga digalakkan kerana lebih murah berbanding dalam pasu. Periksa kesempurnaan akar dan pilih saiz pasu yang sesuai dengan ketinggian pokok. Sebelum menanam pokok yang dibeli dalam plastik semaian, bersihkan terlebih dahulu pasu, tutup lubang air pada pasu dengan meletakkan ketul batu atau serpihan pasu supaya tanah tidak keluar.

Masukkan tanah hingga memenuhi satu per empat daripada ketinggian pasu dan taburkan baja serta gaul bersama tanah. Masukkan pokok dan letakkan ia di tengah pasu dan gunakan jari untuk menggemburkan tanah pada bahagian akar.

Kemudian tambah tanah hingga penuh atau sekurang-kurangnya dua sentimeter daripada permukaan pasu. Siram secara perlahan-lahan dan biarkan air menyerap hingga ke lapisan bawah supaya dapat membantu tumbesaran pokok.

Jangan lupa beli piring alas pasu untuk mengelakkan air daripada membasahi laman atau ruang kediaman anda. Jika mahu menggunakan semula pasu lama, pastikan ia dibersihkan dengan memberus atau membuang semua tanah yang melekat pada pasu berkenaan.

Anda juga digalakkan membasuh pasu dengan air sabun hingga bersih dan jemur secara telangkup hingga kering. Ia bertujuan menghalang kehadiran bakteria dan serangga perosak menyerang pokok baru.

No comments:

Post a Comment