Wednesday, July 9, 2008

Kafein boleh jejas kesuburan

Wanita kerap minum kopi sukar hamil

BARCELONA: Wanita yang minum empat cawan kopi sehari menjejaskan peluangnya untuk mendapat anak, malah kesannya kepada kehamilan hampir sama buruk seperti yang disebabkan oleh arak, merokok atau memiliki berat badan berlebihan.

Wanita yang mengambil kafein menyamai empat cawan kopi sehari berkemungkinan besar kurang mempunyai peluang mendapat anak sehingga 26 peratus – sebagai tambahan kepada bukti ia boleh menjejaskan kesuburan dan kesihatan janin.

Awal tahun ini, kajian mendakwa cuma dua cawan kopi sehari sudah cukup menggandakan risiko keguguran. Kopi juga didapati meningkatkan risiko kematian bayi ketika dilahirkan dan dikaitkan dengan kecacatan ketika lahir.

Penyelidikan menunjukkan, wanita muda yang cergas, muda dan sihat mengambil masa lebih panjang untuk hamil jika mengambil banyak minuman berkafein.

Penyelidik Belanda mengawasi kesihatan dan tabiat 9,000 wanita yang mempunyai masalah kesuburan sehingga 13 tahun selepas menamatkan rawatan persenyawaan luar rahim (IVF).

Sebahagian daripada wanita berkenaan melahirkan anak menerusi kaedah itu, manakala sebahagian lagi tidak. Hampir 1,350 wanita mendapat anak selepas rawatan itu tamat, dengan kebanyakan kehamilan berlaku pada tahun pertama.

Apabila penyelidik Universiti Radbout di Nijmegen menyiasat mengapa sebahagian wanita hamil secara semula jadi dan sebahagian tidak, mereka mendapati gaya hidup memainkan peranan penting. - Agensi

No comments:

Post a Comment