PERSEMBAH CENDERAMATA: Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan menerima buku Adab Raja-Raja Melayu yang disampaikan Mohd Shafie pada Majlis Pelancaran Kelab Membaca Kebangsaan dan Festival Membaca 2008 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.
Cadangan akan dihantar ke Kabinet untuk galak tabiat membaca di kalangan rakyat
Cadangan akan dihantar ke Kabinet untuk galak tabiat membaca di kalangan rakyat
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mencadangkan kerajaan memberikan elaun buku kepada kakitangan awam dan swasta bagi menggalakkan tabiat membaca di kalangan masyarakat negara ini yang ketinggalan berbanding negara Barat.
Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata cadangan itu akan dibawa ke Kabinet kerana ia bertepatan dalam usaha kerajaan meningkatkan tabiat membaca dan menyokong sepenuhnya sekiranya kerajaan ingin meluluskan cadangan berkenaan.
"Berdasarkan kajian yang dijalankan Perpustakaan Negara, 98.8 peratus rakyat negara ini membaca hanya dua buku setahun dan hanya 6,500 judul baru diterbitkan setahun oleh lebih 200 penerbit yang aktif.
"Statistik ini amat sedikit jika dibandingkan dengan negara lain seperti Korea Selatan yang menerbitkan lebih kurang 40,000 judul baru setiap tahun dan 70 peratus daripada buku ini adalah untuk bacaan umum," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Kelab Membaca Kebangsaan dan Festival Membaca 2008 yang dirasmikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dr Muzahet Masruri dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Raslin Abu Bakar.
Festival yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan melahirkan masyarakat Malaysia yang berilmu dan bermaklumat dengan menjadikan amalan membaca sebagai budaya.
Sempena festival itu, logo rasmi Kelab Membaca Kebangsaan Sinar Pintar turut dilancarkan selain pelbagai aktiviti menarik lain antaranya demonstrasi bacaan pantas, pameran perpustakaan keluarga dan pertandingan membaca braille bagi orang kurang upaya (OKU).
Shafie berkata, bagi meningkatkan minat membaca, penerbit dan pengeluar buku juga perlu menawarkan harga yang lebih rendah kerana ia boleh menggalakkan orang ramai untuk membeli buku dengan lebih kerap.
"Selain itu, saya menyarankan supaya pemilik gedung buku seperti MPH, Kinokuniya dan Borders mengadakan jualan murah untuk memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan buku pada harga yang lebih murah," katanya.
No comments:
Post a Comment