Thursday, July 3, 2008

ketumbuhan dalam payu dara


KEBANYAKAN wanita masa kini akan merasa gundah apabila mendapati di dalam payu dara mereka terdapat ketumbuhan. Ini memungkinkan mereka menghidap kanser payu dara.

Kanser payu dara adalah kanser paling kerap berlaku dan kanser paling biasa di kalangan semua wanita seawal umur 20 tahun di Malaysia bagi tahun 2002 dan 2003.

Kanser payu dara paling biasa berlaku di kalangan kaum Cina, kemudian kaum India dan kaum Melayu.

Kanser payu dara juga menyumbang kepada 31 peratus daripada jumlah kes kanser wanita pada tahun 2003 (30.4 peratus pada 2002).

Namun, bukan kesemua ketumbuhan di dalam payu dara merupakan kanser payu dara. Walhal hampir 80 hingga 90 peratus adalah ketumbuhan biasa yang bukan berbentuk kanser.

Walau bagaimanapun, oleh kerana kanser payu dara merupakan satu penyakit utama di kalangan masyarakat dunia yang mengakibatkan kesengsaraan dan kematian jutaan manusia, setiap ketumbuhan pada payu dara mesti dianggap kanser sehingga terbukti sebaliknya secara saintifik.

Untuk membezakan dengan tepat antara ketumbuhan biasa (benign tumour) dan kanser payu dara secara fizikal adalah sukar.

Hanya dengan membuat kajian sitologi (kajian sel) sahaja dapat kita memastikan sesuatu ketumbuhan itu kanser atau sebaliknya.

* Kaji penyakit

Hampir 80 hingga 90 peratus ketumbuhan dalam payu dara adalah ketumbuhan biasa yang bukan berbentuk kanser.

Ketumbuhan biasa (benign tumour) yang boleh berlaku di dalam payu dara termasuklah:

Fibroadenoma

* ketumbuhan ini kerap berlaku di kalangan wanita muda. Permukaan ketumbuhan ini licin dan mungkin berbonjol serta boleh bergerak sekeliling apabila ditekan dari luar.

Fibrocystic mastopathy

* ini biasanya berlaku di kalangan wanita berumur antara 30 hingga 50 tahun yang belum putus haid. Saiznya berbeza berdasarkan pusingan haid dan bertambah besar dan sakit apabila menghampiri haid. Berdasarkan sifat percambahan sel epitelium, ia berisiko berubah menjadi kanser.

Sista (Cyst)

* ketumbuhan ini adalah biji yang mengandungi air. Kebanyakan tidak merbahaya melainkan biji yang mengandungi darah.

Nekrosis lemak

* ketumbuhan ini berpunca daripada kecederaan pada payu dara yang menyebabkan sel lemak payu dara mati dan membentuk kumpulan biji yang keras. Agak sukar untuk membezakannya dari kanser melainkan dengan kajian sel histologi.

Bisul (breast abcess)

* selalunya tidak sukar untuk membezakan bisul dengan kanser. Tetapi “antibioma” iaitu keras yang terjadi apabila bisul dirawat secara konservatif, boleh menyukarkan perbezaan ini.

* Perbezaan

Seperti yang telah disebut tadi, untuk membezakan dengan tepat antara ketumbuhan biasa (benign tumour) dan kanser payu dara secara fizikal adalah sukar.

Walau bagaimanapun, beberapa petunjuk mungkin dapat memberikan gambaran kasar sama ada ketulan di payu dara itu berkemungkinan merbahaya.

Ia melibatkan risiko individu untuk kanser, sifat fizikal ketumbuhan, penand a aras tumor (tumour marker) dan genetik.

Semakin banyak petunjuk yang positif, semakin mirip ketumbuhan itu kepada ketumbuhan kanser.

* Risiko mendapat kanser payu dara

Seperti kebanyakan penyakit kanser, penyebab utama kanser payu dara masih belum diketahui tetapi dipercayai melibatkan faktor penyebab seperti faktor genetik dan faktor alam sekitar.

Banyak telah diperkatakan mengenai petunjuk bagi mereka yang berisiko untuk menghidap kanser payu dara. Ia tetap menjadi petunjuk semata-mata.

Ramai penghidap kanser payu dara tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser payu dara.

Walau apapun, petunjuk-petunjuk ini bertujuan membuat seseorang lebih berhati-hati dan peka dengan penyakit tersebut dan mendapatkan rawatan dengan segera.

Secara ringkasnya, mengetahui faktor risiko akan memutuskan sama ada individu perlu atau tidak melakukan pemeriksaan saringan.

Sekiranya individu tidak mempunyai faktor-faktor risiko, tidak bermakna individu selamat. Kanser payu dara tidak boleh dicegah dan strategi utama adalah pengesanan awal dan rawatan sebelum kanser itu merebak.

* Pemeriksaan payu dara

Pemeriksaan payu dara boleh dilakukan oleh pengamal perubatan atau individu itu sendiri. Tiada siapa yang lebih arif akan badan seseorang melainkan individu itu sendiri.

Adalah digalakkan setiap individu membuat pemeriksaan payu dara sendiri setiap bulan.

Bahagian ketiak patut juga diberi perhatian dengan urutan untuk memastikan ia normal dan tiada ketulan.

* Saiz ketumbuhan

Kebanyakan ketumbuhan yang bersaiz lebih daripada satu sentimeter dapat dirasai secara fizikal dengan pemeriksaan sendiri.

Kadang kala, kesukaran untuk merasai ketulan berlaku disebabkan tidak banyak perbezaan konsistensi antara ketulan dan tisu payu dara di sekelilingnya, atau kedudukannya yang terlalu dalam.

Kebiasaannya, saiz yang kurang dari satu sentimeter sukar untuk dirasa. Di dalam keadaan begini ujian ultrasound atau mammogram dapat membantu mengenalpasti kewujudan ketulan itu.

No comments:

Post a Comment