Tuesday, May 13, 2008

Lima cara kawal harga beras





Kebajikan pengguna, pesawah dijaga tangani masalah kekurangan bekalan:


PM PUTRAJAYA: Kerajaan semalam memutuskan untuk mengawal harga beras Super Special Tempatan lima peratus dan Super Special Tempatan 10 peratus bagi membendung kenaikan berterusan harga beras gred berkenaan. Sehubungan itu, harga siling beras Super Special Tempatan lima peratus ditetapkan RM2.80 sekilogram, manakala Super Special Tempatan 10 peratus RM2.70 sekilogram, berkuat kuasa 1 Jun ini.
Beras Super Tempatan 15 peratus pula kekal sebagai beras yang dikawal harga di antara RM1.65 sekilogram dan RM1.80 sekilogram mengikut zon. Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga bersetuju mengapungkan harga beras import, termasuk beras putih Thailand di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Dalam kenyataan lewat petang semalam, Abdullah turut mengumumkan kenaikan Harga Minimum Terjamin (GMP) padi daripada RM650 satu tan kepada RM750 satu tan serta membenarkan pemindahan padi di antara negeri secara berperingkat.


Perdana Menteri berkata, semua keputusan itu kecuali harga siling beras Super Special Tempatan lima peratus dan Super Special Tempatan 10 peratus, berkuat kuasa serta merta. Beliau berkata, menerusi langkah yang diambil itu kerajaan akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM725 juta untuk 500,000 tan beras import sebagai subsidi bagi mengekalkan harga runcit beras demi meringankan beban pengguna. Katanya, lima tindakan itu diputuskan selepas menimbang kepentingan semua pihak dan bagi menjaga kebajikan pengguna serta pesawah dalam menghadapi isu kenaikan harga padi dan beras. "Kenaikan harga beras dunia memberi tekanan kepada harga padi dan beras dalam negara sehingga menyebabkan berlaku kekurangan bekalan beras Super Tempatan 15 peratus yang harganya dikawal.
"Pengilang lebih berminat mengeluarkan beras Super Special Tempatan lima atau 10 peratus yang tidak dikawal harganya. Oleh itu, harganya naik mendadak kerana kerajaan tidak mengenakan kawalan harga terhadap beras gred berkenaan," katanya. Abdullah Menteri berkata, keadaan itu memerlukan kerajaan mengambil tindakan untuk memastikan bekalan beras Super Tempatan 15 peratus mencukupi serta membendung kenaikan berterusan harga beras Super Special Tempatan lima peratus dan 10 peratus.
Katanya, harga beras di pasaran dunia naik mendadak ketika ini berbanding harga pada 2007 dengan harga beras putih Thailand lima peratus meningkat 164 peratus daripada AS$371 (RM1,150) setan metrik pada 2007 kepada AS$980 (RM3,038) sekarang. Harga beras putih Vietnam pula naik sebanyak 212 peratus daripada AS$352 (RM1,091) setan metrik tahun lalu kepada AS$1,100 (RM3,410) tahun ini. Mengenai keputusan menaikkan GMP, Perdana Menteri berkata ia wajar kerana harga padi yang ditawarkan dan diterima pesawah pada masa ini melebihi kadar semasa yang ditetapkan.

"Kerajaan berpendapat GMP perlu dinaikkan ke paras yang lebih tinggi bagi faedah pesawah berikutan kenaikan harga beras, manakala pemindahan padi antara negeri juga perlu dikaji bagi menjadikan harga jualan padi lebih kompetitif dan dapat membantu menambah pendapatan pesawah," katanya.


(Berita Harian Online @ 13/5/08)

No comments:

Post a Comment