KUALA LUMPUR: Seperti yang diramal, Stracie Angie Anam atau Stacy, 18, yang sentiasa menduduki tempat teratas dalam setiap persembahan mingguannya dinobatkan sebagai juara program TV realiti popular, Akademi Fantasia musim keenam (AF6) pada konsert akhir yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Stacy tidak dapat menahan sebak sebaik diumumkan sebagai juara oleh pengacara AF6, AC Mizal. Dia yang menyampaikan lagu Atas Nama Cinta nyanyian asal Rossa dan lagu baru, Aku Stacy ciptaan Intan Norul Azlina dan lirik oleh Intan Norul Azlina dan Layla Ismail berjaya memukau penonton.
Malah, pengkritik tetap, iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Ning Baizura serta pengkritik jemputan, Adlin Aman Ramlie turut kagum dan memuji persembahannya pada konsert akhir itu.
Pelajar kecil molek yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu menerima hadiah lumayan keseluruhan bernilai RM733,734, termasuk sebuah banglo empat bilik di A Famosa, Melaka (RM550,000), kereta Peugeot 307 XS tajaan Naza Motors Sdn Bhd (RM139,535), wang tunai RM25,000 sumbangan Hotlink, pakej percutian ke Itali tajaan Mayfirst, pakej pelancongan ke New York tajaan Maybelline, Sony Playstation tajaan Astro (RM1,199) bersama trofi AF6.
Naib juara, Mohammed Idris Mohd Zaizizi atau Riz, 22, dari Grik, Perak menyanyikan lagu 11 Januari (Gigi) dan Hanya Sandiwara ciptaan Norliza Abu Bakar serta lirik oleh Dean. Dia membawa pulang hadiah bernilai RM96,076 iaitu kereta Naza Bestari tajaan Naza Motors Sdn Bhd (RM68,877), wang tunai (RM15,000), pakej percutian ke Itali, baucar pelancongan (RM3,000), Sony Playstation serta trofi AF6.
Tempat ketiga, Ahmad Nubhan Ahmad atau Nubhan, 22, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan menyampaikan lagu Bukan Di Sini (Sofaz) dan Ada Untukmu ciptaan Zeti Akmar, manakala lirik oleh Abie Abdullah. Kejayaan itu membolehkannya membawa pulang hadiah bernilai RM21,199, iaitu wang tunai (RM10,000), pakej percutian ke Afrika Selatan, baucar pelancongan (RM2,000), Sony Playstation serta trofi AF6.
Khairul Nizam Baharom atau Toi, 31, dari Johor Bahru sekadar menduduki tempat keempat. Dia yang mendendangkan lagu Cinta Zulaikha (Mawi) dan Panahan Asmara ciptaan Muhd Nur Hadi dan Muhamad Hafiz manakala lirik oleh Ad Samad. Dia membawa pulang hadiah bernilai RM9,199 iaitu wang tunai (RM5,000), pakej percutian ke Chiang Mai, Sony Playstation serta trofi AF6.
Tempat kelima, Nadia Haswani Hasnan atau Nadia, 18, dari Kuala Lumpur yang menyampaikan Aku Lebih Tahu (Mila AF5) dan Kalut Lagi Mengarut ciptaan Clifford Joseph Hughes dan Amiruddin Syawal, manakala lirik oleh Syeikh Qalam. Dia menerima hadiah bernilai RM7,199 iaitu wang tunai (RM3,000), pakej percutian ke Chiang Mai, Sony Playstation serta trofi AF6.
Jumlah keseluruhan tajaan dan hadiah bagi AF6 bernilai hampir RM900,000. Hadiah disampaikan Pengetua AF6, Ramli MS.
(Stacy dapat undian sebanyak 43% daripada undian sms keseluruhan 879,000 semasa konsert akhir)
No comments:
Post a Comment