Wednesday, May 14, 2008

PATI cuba masuk tentera guna MyKad - Datuk Pairin

KUALA LUMPUR 13 Mei - Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini mendedahkan terdapat cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu untuk mendaftar sebagai rekrut dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan kad akuan diri Malaysia, MyKad palsu.

Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan (BN- Keningau) justeru menegaskan masalah PATI kini ibarat bom jangka yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman negara terutama rakyat Sabah.

Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Timbalan Ketua Menteri berpendapat, ia menjadi semakin tidak terkawal ekoran kelemahan penguatkuasaan di kawasan sempadan.

"Gejala ini sememangnya mencapai tahap serius dan kerana itulah wakil- wakil dari Sabah sering membangkitkan isu ini semasa berucap di Parlimen.

"Ia sudah lama berlarutan, tetapi masih gagal diatasi oleh pihak berkuasa hingga menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat Sabah sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Pairin juga melahirkan kebimbangan bahawa masalah itu akan menghimpit generasi akan datang apabila peluang yang diwujudkan untuk mereka direbut oleh PATI.

Menurutnya, kebanjiran pendatang asing di Sabah yang kebanyakannya dari selatan Filipina, berlarutan sejak 1970- an.

"Pelbagai kalangan di Sabah mendakwa jumlah PATI termasuk dari Indonesia, mencecah 1.5 juta orang, iaitu kira- kira separuh jumlah penduduk Sabah," katanya.


Sementara itu, Rosnah Abdul Rashid Sirlin (BN-Papar) pula mencadangkan supaya kem pelarian di Kinarut, yang terletak 15 kilometer dari Kota Kinabalu, ditutup atau dipindahkan.

Ini kerana, katanya, penduduk sekitar kini menghadapi ancaman gejala sosial dan masalah kesihatan akibat sistem sanitasi dan pelupusan sampah di kem tersebut yang tidak teratur.

"Saya juga minta agar jalan masuk ke Sabah ditutup kepada pendatang tanpa izin, manakala mereka yang ada di Sabah dihantar pulang ke negara asal," katanya.

Beliau menyarankan agar Kerajaan Pusat mendapat angka sebenar golongan pendatang termasuk yang telah diberi status penduduk tetap untuk menangani masalah itu dengan segera.

(Utusan Malaysia Online @ 14/5/2008)

No comments:

Post a Comment