Friday, May 23, 2008

Manifesto sekadar permainan politik

KUALA LUMPUR 22 Mei - Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof. Datuk Dr. Hamdan Adnan berkata, tiada tindakan boleh diambil oleh suruhanjaya itu terhadap pakatan pembangkang yang sering mengubah dan memungkiri janji-janji di dalam manifesto mereka.

Beliau berkata, janji-janji di dalam manifesto pakatan pembangkang semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 hanya sekadar permainan politik.

''Manifesto bukanlah satu akta atau undang-undang... jika ia tidak dituruti, rakyat boleh mengambil tindakan dari segi undang-undang.

''Oleh itu, tiada apa yang boleh dilakukan oleh Suhakam termasuk membawa perkara ini ke mahkamah kerana manifesto ialah kempen parti-parti politik dalam menghadapi sesuatu pilihan raya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan rakyat supaya Suhakam berbuat sesuatu terhadap pakatan pembangkang yang sering mengubah manifesto mereka selepas menguasai beberapa negeri termasuk Selangor dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Hamdan berkata, sebagai sebuah badan bebas, Suhakam menggalakkan rakyat membuat aduan kepada pihaknya tetapi tiada pendakwaan boleh dibuat oleh Suhakam ke atas pakatan pembangkang.

Katanya, bukan hanya pakatan pembangkang sahaja yang tampil dengan manifesto pada pilihan raya umum yang lalu, sebaliknya kerajaan Pusat turut tampil dengan manifesto mereka.

Beliau menjelaskan, manifesto tidak boleh dibawa ke Parlimen untuk dijadikan satu rang undang-undang atau pun akta.

Justeru, katanya, jika pakatan pembangkang tidak menunaikan apa yang dijanjikannya kepada rakyat, anggaplah manifesto mereka itu sekadar janji manis.

''Ini semua permainan politik dan Suhakam tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita tidak mahu diketawakan.

''Samalah jika Parlimen membahaskan mengenai manifesto pembangkang dan mahu menjadikannya sebagai rang undang-undang, kelak orang akan mentertawakan tindakan ini,'' katanya.

Beliau berkata, rakyat harus mengambil iktibar supaya tidak termakan dengan janji-janji yang terkandung di dalam manifesto pakatan pembangkang yang akhirnya tidak dikotakan.

No comments:

Post a Comment