KOTA BHARU 9 Jun – Ketika negara dan rakyat terbeban dengan krisis kenaikan harga bahan api, Dewan Perdagangan Islam Malaysia Negeri Kelantan (DPIMNK) merancang mengeluarkan biopetrol melalui projek perladangan pokok sweet sorghum.
Pengerusinya, Datuk Illias Hussin percaya penghasilan ethanol dari pokok sweet sorghum untuk dijadikan biopetrol dapat membantu mengurangkan penggunaan petrol sekali gus mengurangkan perbelanjaan.
Katanya, buat permulaan, pihaknya akan menanam 700,000 pokok tersebut di tapak seluas lima hektar berhampiran pusat serenti Kandis, Bachok dekat sini bagi merangsang pelbagai pihak turut menggerakkan industri itu.
‘‘Ethanol dari pokok berkenaan telah terbukti sebagai komponen terpenting dalam penghasilan biopetrol dan berpotensi untuk pasaran dunia.
“Hasil kajian mendapati 10 peratus biopetrol yang dicampurkan dengan petrol boleh meningkat jarak perjalanan sehingga 30 peratus dan harganya amat berpatutan.
“Pokok ini amat mudah ditanam kerana ia tidak memerlukan kos yang tinggi serta tidak perlu disiram setiap hari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Illias berkata, pihaknya juga telah menempah mesin yang berharga RM200,000 untuk menghasilkan ethanol dan biopetrol.
Bagaimanapun katanya, DPIMNK masih menunggu kelulusan pihak berkuasa untuk mendapatkan tapak bagi memulakan projek penanaman sweet sorghum yang dijangka bermula penghujung bulan ini.
“Kebanyakan negara seperti Amerika Syarikat, India dan China telah mengusahakan penanaman pokok tersebut bagi menghasilkan ethanol.
“Di negara ini, ia masih belum lagi mendapat pendedahan yang meluas dan kita amat berharap kerajaan memberikan sokongan serta bantuan bagi merealisasikannya,” katanya.
Katanya, penggunaan ethanol amat luas seperti dalam industri farmaseutikal dan bukan sahaja bagi menghasilkan biopetrol.
Tambahnya, keseluruhan pokok tersebut mempunyai kegunaan sendiri seperti batangnya boleh dijadikan gula dan buahnya dijadikan bijirin seperti gandum.
“Saya sendiri telah memulakan projek tanaman pokok ini di tanah seluas 50 hektar di Sumatera Utara sejak setahun lalu dan ia menunjukkan hasil yang lumayan.
“Kita amat berharap projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana ia memberi faedah kepada semua pihak dan juga penduduk setempat untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Tuesday, June 10, 2008
Biopetrol dari sweet sorghum
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment