Saturday, June 14, 2008

Lelaki maut tersedut spora kulat

PARIS 13 Jun - Seorang lelaki dilaporkan jatuh sakit dan meninggal dunia selepas tersedut sejenis spora kulat yang tumbuh dalam karung berisi kayu reput dan daun kering.

Lelaki berusia 47 tahun itu dimasukkan ke Hospital Wycombe di High Wycombe, Britain bulan lalu selepas mengadu sakit dada, sesak nafas dan batuk yang teruk.

Doktor-doktor pada mulanya mengesyaki lelaki itu menghidap radang paru-paru kerana tabiat merokok selain bekerja sebagai pengimpal.

Mereka memberikan dua jenis ubat antibiotik kepadanya dan disusuli dengan sejenis lagi ubat antibiotik apabila penyakitnya berterusan.

Dalam tempoh 24 jam, pesakit itu dipindahkan ke unit penjagaan intensif tetapi sistem bantuan pernafasan gagal membekalkan oksigen yang mencukupi kepada tisu badannya.

Ujian darah menunjukkan kehadiran toksin pada tahap yang tinggi.

Punca penyakit lelaki itu akhirnya terbongkar selepas ujian ke atas kahaknya menunjukkan dia mengalami keracunan berpunca daripada sejenis kulat bawaan udara dikenali sebagai Asperillus fumigatus.

Dr. David Waghorn yang melaporkan hasil kajian tersebut dalam jurnal The Lancet, asperillus merupakan sejenis kulat biasa yang boleh ditemui di mana-mana tetapi boleh memudaratkan kesihatan sekiranya terhidu dalam jumlah yang banyak.

Selepas disiasat, rakan pesakit itu mendedahkan bahawa dia mula sakit tidak sampai 24 jam selepas mengumpulkan daun kering dan kayu reput di taman.

"Penyakit ini jarang ditemui. Saya telah berkhidmat sebagai pakar mikrobiologi selama 25 tahun dan inilah kali pertama saya menemui kes seperti ini," kata Waghorn.

- AFP

No comments:

Post a Comment