PUTRAJAYA 19 Jun - Kesemua 46 pengeksport makanan laut ke negara anggota Kesatuan Eropah (EU) bersetuju menghentikan eksportnya buat sementara waktu bagi menggelakkan pengharaman EU terhadap semua hasil laut dari negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, tindakan itu membolehkan pengeluar makanan laut menaik taraf kemudahan sedia ada bagi memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Direktorat Awam Kesihatan dan Perlindungan Pengguna EU.
''Untuk mengelakkan pengharaman ke atas makanan laut Malaysia, kita secara sukarela menghentikan operasi eksport makanan laut ke negara EU buat sementara waktu.
''Dalam tempoh ini, kerajaan bersama-sama pengeluar akan berusaha untuk memastikan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan bagi memastikan eksport ke negara EU dapat disambung semula," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
EU sebelum ini bercadang mengharamkan eksport makanan laut ke negara anggotanya selepas mendapati pengeluar makanan laut negara ini gagal memenuhi beberapa syarat kebersihan yang ditetapkan.
Berikutan daripadanya, sepasukan delegasi dari kerajaan Malaysia telah dihantar untuk berunding dengan pegawai EU di Brussel pada 16 Jun lepas tetapi gagal mendatangkan apa-apa hasil.
Tiong Lai berkata, masing-masing Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi tempoh enam minggu kepada semua pengusaha dalam rantaian pengeluaran makanan laut termasuk pengusaha kolam ternakan dan kapal perikanan untuk memenuhi syarat yang ditetapkan EU.
''Selepas tempoh ini, pegawai EU akan menjalankan pemeriksaan semula ke atas kilang dan rantaian pengeluaran makanan laut di negera ini.
''Seluruh proses ini dijangka memakan masa selama tiga bulan dan premis yang memenuhi syarat akan dibenarkan menyambung operasi eksport ke Eropah," katanya.
Beliau berkata, masing-masing Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah berdialog dengan pengeluar makanan laut berkenaan serta bersedia memberikan bantuan kepada mereka.
''Kita telah meminta semua pengusaha untuk menyenaraikan bantuan yang diperlukan dan kita akan membincangkan perkara ini di Kabinet," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Pemproses Makanan Sejuk Beku, Ch'ng Chin Hooi berkata, pengusaha makanan sejuk beku yang mengeksport ke negara-negara EU sebelum ini dijangka mengalami kerugian sebanyak RM1 bilion.
Beliau berkata, implikasi untuk menghentikan eksport ke EU adalah besar memandangkan 60 hingga 70 peratus eksport makanan laut sejuk beku adalah ke negara-negara EU.
''Pada masa yang sama, ia juga menjejaskan mata pencarian kira-kira 8,000 hingga 10,000 pekerja dalam bidang ini.
''Industri sejuk beku makanan laut akan terjejas teruk jika kerajaan tidak membantu kita dalam tempoh ini." katanya.
Friday, June 20, 2008
Pengeksport makanan laut hentikan bekalan ke EU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment