Thursday, June 12, 2008

EU cadang larang masuk produk makanan laut Malaysia

BRUSSEL 11 Jun - Suruhanjaya Eropah bercadang melarang kemasukan produk makanan laut dan ikan dari Malaysia berikutan tidak memenuhi standard Kesatuan Eropah (EU).

"Pihak suruhanjaya sedang mencadangkan kepada negara anggota EU mengenai draf yang mengandungi dua pilihan bagi menghentikan buat sementara produk perikanan dan ikan segar kecuali ikan hiasan yang diimport dari Malaysia," kata pegawai Suruhanjaya itu yang enggan dikenali.

Menurutnya, kemasukan produk tersebut perlu dihentikan buat ketika ini berikutan hasil pemeriksaan suruhanjaya tersebut terhadap produk berkenaan tidak memuaskan.

"Ini boleh menimbulkan kebimbangan terhadap orang awam dan kesihatan haiwan," katanya lagi.

Berikutan tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya itu, pengusaha industri makanan laut beku Malaysia merayu EU supaya tidak mengharamkan eksport dari Malaysia yang bernilai berbilion dolar itu.

Pengerusi Pertubuhan Proses Makanan Beku, Ch'ng Chin Hooi berkata, tindakan larangan itu boleh menjejaskan pasaran eksport Malaysia berikutan Eropah merupakan salah satu pasaran utama industri.

"Jika tindakan seperti ini diambil akan menyebabkan ramai pengusaha akan gulung tikar," katanya.

Pada April tahun lalu, pegawai makanan dan haiwan dari EU dalam lawatannya ke Malaysia mendapati enam daripada sembilan syarikat makanan laut tempatan yang mengeksport produk mereka ke Eropah tidak memenuhi piawaian kesihatan EU.

No comments:

Post a Comment