KUALA LUMPUR: Semua 686 pejabat pos di seluruh negara akan dibuka Sabtu ini bagi membolehkan pemilik kenderaan persendirian membuat tuntutan bayaran rebat subsidi minyak yang diumumkan kerajaan, minggu lalu.
Menurut Pusat Khidmat Pelanggan Pos Malaysia Bhd, operasi pejabat pos pada Sabtu ini juga dikhususkan hanya untuk pembayaran rebat berkenaan, bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.
Pusat yang dihubungi melalui talian PosLine 1-300-300-300 itu menjelaskan, operasi pejabat pos sepatutnya ditutup Sabtu ini sebagai ganti cuti setiap Sabtu minggu pertama yang pada bulan ini jatuh pada Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, 7 Jun lalu.
Bagaimanapun, pengurusan PMB kelmarin mengarahkan semua kakitangan membuat persediaan memulakan fasa pertama pembayaran rebat itu, bermula Sabtu ini hingga 30 Jun depan.
Fasa pertama itu dikhususkan untuk pemilik kenderaan yang memperbaharui cukai jalan pada 1 April sehingga 31 Mei lalu, manakala fasa kedua bagi cukai jalan yang diperbaharui mulai 1 Jun lalu akan diumumkan kemudian.
Tuntutan rebat pada fasa pertama itu akan dibayar secara tunai, tetapi pemilik kenderaan mesti hadir sendiri dan hanya perlu membawa kad pengenalan diri (MyKad atau Kad Tentera dan Polis) untuk disemak menerusi sistem yang disepadukan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Difahamkan, tuntutan rebat itu boleh dibuat untuk maksimum lima kenderaan yang didaftarkan atas satu nama. Bagaimanapun, kenderaan yang menggunakan gas asli (NGV) tidak layak mendapat rebat.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pemilik kenderaan persendirian dengan kapasiti enjin sehingga 2,000cc dan pikap serta jip sehingga 2,500cc akan diberi bayaran tunai RM625 setahun.
Pemilik motosikal persendirian dengan kapasiti enjin sehingga 250cc pula menerima bayaran tunai RM150 setahun.
Bayaran tunai itu akan diberi apabila pemilik kenderaan membayar atau memperbaharui cukai jalan, berkuat kuasa mulai 1 April lalu hingga 31 Mac tahun depan.
Pembayaran itu pada awalnya dijadual 1 Julai, tetapi dipercepatkan Sabtu ini bagi mengurangkan beban rakyat.
Thursday, June 12, 2008
Pejabat pos dibuka Sabtu urus rebat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment