PUTRAJAYA 9 Jun - Sebanyak 31 peratus pesakit kanser wanita di negara ini terdiri daripada pesakit kanser payu dara yang menjadikan kanser itu kekal sebagai pembunuh utama wanita.
Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, peningkatan kanser tersebut bukan sahaja dikesan di negara ini tetapi berlaku di seluruh dunia.
''Berdasarkan statistik pada 2003, sebanyak 3,738 kes baru untuk kanser payu dara telah dilaporkan di negara ini.
''Di peringkat dunia pula, 1.05 juta wanita menghidap kanser payu dara setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kemas Kini Patologi Payu Dara di Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Tiong Lai berkata, hanya 20 peratus pesakit kanser payu dara menerima rawatan awal sekali gus menyebabkan ramai pesakit gagal disembuhkan.
''Jika pesakit menerima rawatan pada peringkat awal maka peluang sembuh adalah mendekati 100 peratus.
''Jika pesakit menerima rawatan selepas kanser merebak ke bahagian badan lain, peluang sembuh adalah kurang daripada 50 peratus," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan wanita yang berumur 20 tahun ke atas menjalankan ujian sendiri dari semasa ke semasa.
''Wanita berumur 30 tahun ke atas juga dinasihatkan supaya menjalankan ujian di pusat perubatan setiap tahun,'' katanya.
Kata beliau, rawatan untuk pesakit payu dara boleh diperolehi di 55 hospital kerajaan manakala empat hospital iaitu di Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Bahru menyediakan pembedahan 'endocrine' untuk pesakit.
''Buat masa ini, kita mempunyai enam pakar untuk pembedahan ini manakala enam lagi sedang menjalankan latihan," katanya.
Tambahnya, hospital kerajaan mempunyai 60 ahli patologi anatomical dan seorang daripadanya merupakan pakar dalam patologi payu dara.
''Pakar patologi payu dara ini ditempatkan di Hospital Putrajaya," katanya.
Saturday, June 14, 2008
Kanser payu dara pembunuh utama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment