Thursday, June 19, 2008

Yong Teck Lee belot lagi

Pernah ketuai kumpulan khianati Pairin sehingga kerajaan PBS tumbang pada 1994

KOTA KINABALU: Selepas beberapa minggu mengkritik Kerajaan Pusat, Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee semalam mengisytiharkan partinya hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tindakannya itu bagaimanapun tidak mencerminkan keputusan sebulat suara kepimpinan parti apabila Timbalan Presiden SAPP, Datuk Raymond Tan, yang bukan saja tidak bersetuju tetapi terkejut dengan pengumuman berkenaan.



Perdana Menteri, dalam reaksi awalnya menyifatkan tindakan terbaru Presiden SAPP itu adalah disebabkan 'saya tidak dapat memenuhi ketamakan dirinya.' Beliau tidak mengulas lanjut tetapi seorang pembantunya memberitahu, Abdullah akan membuat huraian kemudian.

Yong, ketika mengumumkan pendiriannya pada sidang media di sini, berkata dua Ahli Parlimennya, Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Soal sama ada SAPP terus kekal sebagai komponen Barisan Nasional (BN) pula, akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP di sini, esok.

"SAPP sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri. Peruntukan undi tidak percaya ada dalam Perlembagaan dan menjadi sebahagian daripada proses demokrasi di Malaysia," katanya pada sidang media selama 45 minit di ibu pejabat SAPP di Luyang di sini.

Dr Chua yang juga Naib Presiden SAPP turut hadir, manakala Eric berada di luar negara bagi tugasan rasmi tetapi menyatakan pendiriannya dalam kenyataan media yang ditandatanganinya.

Tan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, tidak menghadiri sidang media itu tetapi ketika dihubungi berkata, beliau terkejut dengan tindakan Yong kerana perkara itu tidak pernah dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi parti untuk diperhalusi.

"Ia bukan persetujuan sebulat suara, malah ia sepatutnya dibincang di mesyuarat Majlis Tertinggi terlebih dulu. Saya tidak nampak sebarang sebab ini perlu dilakukan dan ketetapan itu salah sama sekali," katanya yang tidak diundang ke sidang media berkenaan.

Tan menyifatkan pendirian terbuka membabitkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sama seperti menyokong pembangkang dan boleh menimbulkan ketidakstabilan bukan saja di Sabah, tetapi Malaysia keseluruhannya.

"Saya tidak mahu menyokong pendirian yang cenderung menyebelahi pembangkang kerana ia bermakna kita memberi isyarat salah kepada rakyat," katanya.

SAPP mempunyai dua kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Tanjung Papat (Tan), Likas (Datuk Liew Teck Chan), Luyang (Melanie Chia), Elopura (Au Kam Wah).

Pengumuman Yong itu bercanggah dengan pendiriannya sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu apabila beliau dilaporkan memuji dan menyatakan sokongan padu kepada kepemimpinan Abdullah. Malah, tindakannya itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau pernah mengambil tindakan serupa 14 tahun lalu.

Pada 1994, Yong menjadikan 'hilang kepercayaan' sebagai alasan meninggalkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Kitingan, yang bertanggungjawab membawanya masuk dalam politik. Beliau kemudian mengetuai sekumpulan Ahli Parlimen dan Adun China daripada PBS, membentuk SAPP.

Yong yang juga bekas Ketua Menteri Sabah pada 1996 hingga 1998 mengikut sistem penggiliran, semalam mendakwa BN hanya wujud di Sabah secara dasar tetapi bukan kuasa yang membolehkan pelbagai tuntutan dipenuhi demi manfaat rakyat negeri ini.

"Selepas pilihan raya umum lalu, beberapa Ahli Parlimen BN dari Sabah turut menganggap BN tidak memberi pengiktirafan sewajarnya kepada negeri ini. Bagi saya, semangat BN di Sabah hilang sejak beberapa bulan lalu dan cuma wujud sebagai nama.

"Pelbagai pihak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan Perdana Menteri dan kami memulakan langkah dengan menunjukkannya secara terang-terangan menerusi undi tidak percaya.

"Ada pihak meramalkan SAPP dipecat daripada BN sebelum Jumaat dan ada berpendapat sebaliknya. Kami sudah menyatakan pendirian dan sedia menghadapi apa juga kemungkinan," katanya

Ditanya sama ada Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman, dirujuk sebelum SAPP membuat ketetapan berhubung undi tidak percaya itu, Yong berkata, segala isu yang dibangkitkan sudah kerap dibincang bersama pemimpin BN negeri.

"Peluang keemasan ini tidak akan berulang selepas 45 tahun Sabah menyertai Malaysia dan kita mesti menyatakan pendirian sebelum Ogos ini.

"Mulai Ogos, tumpuan akan beralih kepada pemilihan Umno dan MCA, disusuli kesibukan menyambut puasa dan Aidil Fitri, peperiksaan dan acara hujung tahun.

"Ketika itu, politik tanah air akan berhenti memperkatakan isu berkaitan Sabah dan SAPP berpendapat sekarang adalah masa terbaik Sabah mendapatkan kembali autonomi, royalti minyak sebanyak 20 peratus dan meminta Labuan dikembalikan," katanya.

Yong bagaimanapun berkata, beliau tidak menentang Perdana Menteri secara peribadi, malah pertemuan tertutupnya bersama Abdullah di Kuala Lumpur baru-baru ini berlangsung dalam suasana mesra.

"Tiga kali saya beritahu Perdana Menteri, hanya kerana tiada Ahli Parlimen BN melompat parti pada 14 Mei lalu, ia bukan bermakna perkara itu mustahil berlaku selepas ini. Walaupun kerajaan mendakwa komited menangani isu di Sabah, saya tidak nampak kesungguhan ke arah itu," katanya.

Mengenai kemungkinan SAPP menyertai Pakatan Rakyat, beliau berkata, isu meninggalkan BN atau beralih kepada komponen lain tidak berbangkit kerana tumpuan parti itu ialah mendapatkan semula autonomi politik Sabah.

Katanya, SAPP tidak berminat menyerahkan autonomi berkenaan dengan menjadi sebahagian daripada pakatan lain.

Yong juga mengakui pernah menemui Penasihat Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebanyak dua kali, masing-masing di Hong Kong dan Kuala Lumpur.

PROFIL: Datuk Yong Teck Lee

Dilahirkan pada 1958.
Berkelulusan LLB (Hons) University of London dan Barrister-at-Law dari Lincoln's Inn London.
Berkecimpung dalam politik menerusi PBS sejak 1985.
Menjadi Adun Likas dari 1985 hingga 2002 dan Ahli Parlimen Gaya dari 1999 hingga 2002.
Menubuhkan SAPP pada 21 Januari 1999.
Menjadi Ketua Menteri Sabah ke-10 di bawah sistem penggiliran dari Mei 1996 hingga Mei 1998.
Hilang kelayakan sebagai Adun Likas dan Ahli Parlimen Gaya sejak September 2002 berikutan kesalahan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana rasuah.
Tidak dibenar bertanding pilihan raya selama lima tahun dan terlepas Pilihan Raya Umum 2004.

KRONOLOGI:
19 Januari 1994 - Datuk Yong Teck Lee meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan meninggalkan Parti Bersatu Sabah (PBS).
20 Januari 1994 - Yong bersama Datuk Yee Lung Fook dan Datuk Tham Nyip Shen ke Kuala Lumpur untuk mendaftarkan SAPP sebagai parti dengan Yong bertindak selaku Presiden Penaja.
21 Januari 1994 - Pendaftaran SAPP diluluskan Pendaftar Pertubuhan sebagai parti politik baru.
22 Januari 1994 - Yong sah sebagai Presiden SAPP pertama hingga hari ini.
Februari 1994 - menyertai Barisan Nasional (BN).
18-19 Februari 1994 - Pertama kali menyertai pilihan raya negeri berikutan pembubaran DUN Sabah pada 10 Januari 1994.
8 Mac 2008 - Memenangi empat kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-12. Yong tidak bertanding.

No comments:

Post a Comment