Wednesday, June 4, 2008

KKIA berwajah baru Mei 2009


KOTA KINABALU 3 Jun - Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, yang bakal siap sepenuhnya pada Mei 2009 sekali gus bakal menjadi satu lagi mercu tanda baru bandar raya ini.

Terminal tersebut yang masih lagi menjalani kerja-kerja menaik taraf juga dijangka dapat memberi lebih keselesaan apabila operasi penerbangan di Terminal 2 dipindahkan ke Terminal 1 setelah ia siap sepenuhnya.

Pada masa ini, Terminal 1 menempatkan perkhidmatan dalam dan luar negara, sementara Terminal 2 pula adalah Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dengan jarak antara kedua terminal itu tidak sampai tiga kilometer (km).

Terminal 2 yang mempunyai jumlah keluasan 12,300 meter persegi selepas ini akan ditutup untuk sebarang operasi penerbangan awam dan akan hanya dijadikan tempat pengurusan kargo.

Sebagai pintu masuk utama ke Sabah, KKIA diramal menerima kunjungan sekitar 3.4 juta pelancong dari dalam dan luar negara menjelang 2010 seperti yang disasarkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Sebanyak 94 peratus pelancong dijangka datang ke negeri ini melalui perkhidmatan udara dan dengan pembesaran Terminal 1 itu, Sabah dilihat mampu menampung kebanjiran pelancong bagi tempoh jangka masa panjang.

Ini kerana jumlah penerbangan antarabangsa secara terus dari sini ke beberapa negara luar sudah bertambah pada tahun ini iaitu sebanyak 118 penerbangan seminggu berbanding 87 penerbangan seminggu pada tahun lalu.

Projek pembesaran Terminal 1 dimulakan pada 2006 melalui peruntukan kerajaan Pusat berjumlah RM1.4 bilion dilihat tepat pada masanya untuk menampung kedatangan pelancong yang terus meningkat setiap tahun.

Projek menaik taraf itu membabitkan pembesaran bangunan terminal kepada 53,513 meter persegi berbanding 25,487 meter persegi sebelum ini dan turut memanjangkan landasannya daripada 2.9 km kepada 3.8 km.

Keistimewaan KKIA ialah kedudukannya yang terletak di pinggir jalan utama serta keunikannya yang berhadapan dengan Laut China Selatan dan hanya beberapa kilometer dari pusat bandar raya ini.

Selain itu, KKIA turut disediakan kemudahan asas yang cukup termasuk pengangkutan awam dan diberi keistimewaan untuk melaksana dasar langit terbuka, bertujuan melonjakkan lagi industri pelancongan di Sabah.

Pengisytiharan dasar tersebut diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika melawat KKIA baru-baru ini.

Mengikut statistik, seramai 2.56 juta pelancong mengunjungi Sabah sepanjang tahun lalu, meningkat 17.4 peratus berbanding kira-kira 1.8 juta pelancong pada 2006.

Dijangkakan juga, selepas lapangan terbang berkenaan siap, lebih banyak penerbangan sewa khas syarikat penerbangan asing akan memohon membawa penumpang ke negeri ini.

No comments:

Post a Comment