"EPILEPSI adalah panggilan nama bagi muntahan berwarna kelabu yang berlaku sekali sekala, secara tiba-tiba, cepat dan keluar dengan banyak," demikian menurut John Hughlings Jackson, seorang doktor bangsa Inggeris yang dianggap sebagai bapa kepada konsep moden sawan.
Penjelasan dan konsep yang diperkenalkan oleh Jackson itu masih kekal relevan walaupun selepas 150 tahun berlalu. Secara mudahnya, epilepsi adalah satu gangguan di mana aliran isyarat elektrik di dalam otak menjadi celaru.
Ia kadangkalanya diumpamakan seperti berlaku ribut elektrik di dalam otak. Pelepasan elektrik dari otak yang berlebihan, pada zahirnya, adalah serangan sawan.
Ia dapat dilihat dalam bentuk sentakan (jerky), menggigil dan terkejang-kejang, bunyi kuat seperti berdengkur atau rebah ke tanah, atau gabungan ketiga-tiganya.
Dalam realitinya, serangan sawan boleh terjadi dalam sebarang bentuk perlakuan atau pergerakan yang tidak disedari atau tidak normal. Terdapat bermacam jenis epilepsi atau sawan, dan diklasifikasikan sebagai sawan keseluruhan (generalised) dan sawan separa (partial).
Perbezaannya bergantung kepada bahagian mana serangan sawan itu bermula dan setakat mana ia menjejaskan otak.
Dalam serangan sawan am, aktiviti aliran elektrik yang tidak normal berlaku pada pada kedua-dua hemisfera otak.
Pengidapnya akan tidak sedarkan diri. Serangan separa (partial) pula menjejaskan satu bahagian otak sahaja.
Serangan separa sawan (partial) terbahagi kepada serangan ringkas dan serangan kompleks. Sewaktu berlakunya serangan separa-sawan, seseorang itu tidak pengsan.
Dia mungkin mengalami sensasi atau emosi yang ganjil, misalnya secara tiba-tiba dilanda perasaan suka atau marah, atau berlaku perubahan pada bau, rasa, bunyi atau bentuk sesuatu benda itu.
Sewaktu berlakunya serangan sawan separa kompleks, seseorang itu mungkin tidak mengecam keadaan persekitarannya, mungkin kelihatan seperti bingung atau seperti berada dalam mimpi.
Tanda-tanda serangan ialah perbuatan mengunyah, bingung, menarik-narik pakaian dan berjalan berpusing-pusing dalam satu bulatan.
Kadang-kadang pengidapnya menyedari 'amaran' tersebut dan tahu yang dia akan diserang sawan. Amaran ini juga dipanggil aura.
l Sawan menyeluruh
Serangan sawan menyeluruh pula dibahagikan kepada empat jenis: absens, myoklonik, atonik, and tonik-clonik.
l Serangan sawan absens kebiasaannya berlaku pada kanak-kanak pada usia persekolahan dan biasanya berlaku sekejap sahaja (dalam beberapa saat).
Tanda-tanda biasanya ialah kelihatan bingung, pergerakan yang tidak ketara seperti mata terkelip-kelip. Mungkin tiada yang perasan ia sedang berlaku, malahan kadang-kala pengidap sendiri pun tidak perasaan ia berlaku.
l Serangan sawan Myoklonik menyebabkan berlaku sentakan ringkas pada bahagian tangan, kaki atau bahagian atas badan. Ia sama seperti terjahan atau sentakan secara tiba-tiba pada kaki, yang dialami kebanyakan orang ketika hampir terlelap tidur.
l Serangan sawan Atonik menyebabkan otot tiba-tiba menjadi lemah, mengakibatkan seseorang itu tiba-tiba rebah atau terjatuh.
l Tonik-clonik adalah merupakan serangan sawan yang paling teruk dan jenis inilah yang akan terlintas di fikiran orang ramai apabila memikirkan tentang sawan. Tanda- tandanya adalah seperti tidak sedarkan diri, seluruh badan badan menjadi kejang, disusuli dengan sentakan pada tangan dan kaki. Mungkin juga berlaku hilang kawalan pada pundi kencing.
Jika tidak dirawat, serangan epilepsi ini boleh menjejaskan aktiviti harian seperti memandu atau ketika mandi atau berenang. Terjatuh ketika diserang sawan pula boleh mengakibatkan kecederaan pada kepala.
l Epilepsi biasa berlaku
Ia dialami oleh kira-kira 0.8 peratus kanak-kanak dan 0.4 peratus orang dewasa. Ia mudah berlaku terutamanya pada kanak-kanak dalam lingkungan usia satu tahun dan mereka yang berusia melebihi 65 tahun.
Epilepsi juga boleh menyerang tanpa mengira umur, jantina, bangsa atau status sosial. Separuh daripada kes-kesnya, tidak diketahui puncanya.
Bagaimanapun, beberapa punca utama epilepsi adalah jangkitan pada otak (encephalitis, meningitis dan sebagainya), keadaan seperti serangan angin ahmar, ketumbuhan otak, trauma kelahiran, kecederaan teruk pada kepala, terdedah pada bahan toksik atau penyalahgunaan dadah dan faktor genetik (keturunan).
Walaupun terdapat kemajuan dalam bidang rawatan epilepsi, tidak banyak yang difahami mengenai keadaannya serta mitos menyelubungi penyakit ini.
Kerana kurang kefahaman dan kesedaran, maka pengidap epilepsi masih dilayan dengan rasa takut dan syak wasangka, dan kadang kala dilayan sebagai seorang orang buangan.
Mengidap epilepsi tidak bermakna seseorang itu 'gila' atau terencat akal, ataupun ia akan mengakibatkan masalah mental.
Penyakit ini tidak berjangkit. Sebahagian besar salah faham dalam masyarakat kita ialah epilepsi berpunca daripada gangguan kuasa ghaib.
Sesetengah anggota masyarakat masih mempercayai bahawa badan seseorang yang mengidap epilepsi telah 'dikuasai atau dirasuk oleh makhluk halus'.
Satu cara yang paling mudah untuk menangani kekeliruan tersebut dan mengikis sikap negatif terhadap penghidap sawan ialah dengan membandingkannya dengan penyakit lelah, mengalami debaran hati atau penyakit cirit birit.
Ketidakseimbangan atau gangguan yang sama berlaku pada jantung atau usus mengakibatkan debaran hati atau gangguan perut, boleh menyebabkan berlaku serangan sawan jika ia berlaku dalam otak.
Oleh itu, ia harus diuar-uarkan bahawa aliran elektrik tidak normal yang mengakibatkan berlakunya sawan, memang boleh dirawat!
Tambahan lagi, rawatan perubatan untuk epilepsi mudah diperoleh di semua klinik dan hospital kerajaan.
Ini bermakna orang ramai yang mengidap epilepsi tidak perlu menyisihkan diri atau merasa malu dengan keadaan mereka. Anggota keluarga dan penjaga mereka harus disedarkan bahawa pengidap epilepsi juga boleh menjalani kehidupan biasa seperti orang lain.
Untuk maklumat lanjut mengenai epilepsi, sila layari laman web www.epilepsy.org.my atau www.livebeyondepilepsy.com
Saturday, June 14, 2008
Memahami penyakit epilepsi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment