Wednesday, June 4, 2008

Tawau sesuai untuk pusat pelancar roket

KUALA LUMPUR: 4 Jun 08 - Malaysia sedang memikirkan rancangan untuk membangunkan sebuah pusat pelancaran roket di kawasan pantai timur Sabah khususnya di sekitar Tawau, demikian Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof, berkata kawasan Tawau mempunyai kedudukan geografinya yang sesuai tetapi kajian terperinci perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini kerajaan belum mempunyai cadangan kukuh untuk membangunkan pusat pelancaran roket di Sabah.



Menjawab soalan Senator Nordiana Datuk Shafie, katanya kajian yang menyeluruh termasuk penilaian alam sekitar (EIA) perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada kesan negatif ke atas alam sekitar dan juga penduduk di kawasan itu.

Selain itu, Fadillah juga berkata kos pulangan juga perlu dilakukan bagi memastikan keberkesanan projek yang menelan kos amat tinggi itu memandangkan pasaran bagi pelancaran satelit masih dikuasai oleh Amerika Syarikat, Russia dan Eropah.

Katanya, pembangunan teknologi pelancaran roket juga perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pusat pelancaran itu dapat dibangunkan.

Beliau berkata, kerajaan kini sudah memulakan usaha bagi membentuk satu Dasar Angkasa Negara untuk perincian dan usaha ke arah pembangunan bidang angkasa dapat dikenalpasti bersesuaian dengan dasar pembangunan negara.

“Kerajaan sudah menubuhkan syarikat Astronotik Teknologi Malaysia Sdn Bhd yang memberi tumpuan dalam membentuk aktiviti berkaitan terutama dalam menyiap dan menyediakan projek itu.

“Kita sudah mempunyai empat pakar dalam bidang astronotik dan fokus kepada melatih lebih ramai modal insan. Kementerian juga bekerjasama rapat dengan Universiti Teknologi Malaysia dalam membangunkan modal insan yang pakar dalam bidang astronotik,” katanya.- Bernama

No comments:

Post a Comment