Tuesday, June 17, 2008

Penyelidik temui 3 bumi besar, dua sistem suria


PENEMUAN BARU: Lakaran menunjukkan tiga 'bumi besar' mengelilingi mataharinya (warna oren).


Planet menyerupai bumi lebih padu, kelilingi matahari 4 hari

WASHINGTON: Penyelidik Eropah mengumumkan semalam bahawa mereka menemui tiga 'bumi besar' (super-earth) mengelilingi sebuah bintang yang berdekatan. Selain itu, dua lagi sistem suria ditemui mempunyai planet yang kecil.

Penemuan itu diumumkan pada satu persidangan di Perancis membayangkan planet seperti bumi mungkin agak biasa di dalam sistem suria.

"Apakah setiap bintang memiliki sistem planetnya sendiri. Jika ya, beberapa banyak planet ia miliki?" tanya Michel Mayor dari Observatori Geneva di Switzerlad.

"Kita mungkin tidak mempunyai jawapannya sekarang, tetapi kita sedang mencatat kemajuan yang besar untuk menjawabnya," kata Mayor dalam satu kenyataan.

Tiga bumi besar berkenaan mengelilingi matahari yang lebih kecil daripada matahari dalam sistem suria kita. Sistem suria berkenaan terletak 42 tahun cahaya dari bumi.

Satu tahun cahaya ialah jarak yang dicapai cahaya dalam setahun pada kelajuan 300,000 kilometer sesaat atau kira-kira 9,500 bilion kilometer.

Planet menyerupai bumi itu ialah masing-masing 4.2 kali, 6.7 kali dan 9.4 kali lebih berat daripada bumi.

Planet berkenaan mengelilingi matahari mereka pada kelajuan yang lebih pesat, iaitu satu daripadanya mengelilingi mataharinya dalam empat hari berbanding 365 hari bagi bumi. Dua lagi masing-masing mengelilingi mataharinya dalam 10 hari dan 20 hari.

Mayor dan rakan kerjanya menemui planet berkenaan menggunakan teleskop High Accuracy Radial velocity Planet Searcher atau HARPS, di Observatori La Silla di Chile.

Lebih daripada 270 'exoplanet' sudah ditemui setakat ini dengan kebanyakannya planet besar yang menyerupai Musytari atau Zuhal. Planet yang lebih kecil menyerupai bumi amat jarang ditemui.

"Penemuan planet ini hanyalah satu permulaan.

"Analisis terhadap bintang menggunakan HARPS menunjukkan sepertiga daripada sistem suria mempunyai planet menyerupai bumi atau Neptun," katanya. – Reuters

No comments:

Post a Comment